APAKAH GARAM BERIODIN?
- Garam beriodin adalah garam biasa di mana zat iodin telah ditambahkan. Garam beriodin kelihatan seperti garam biasa. Rasa dan baunya juga seperti garam biasa.
MENGAPA IODIN DITAMBAH DI DALAM GARAM?
- Garam digunakan oleh semua orang setiap hari dengan had pengambilan yang terbatas disebabkan oleh rasanya yang masin.
- Tubuh kita memerlukan hanya sedikit zat iodin tetapi diperlukan setiap hari. Cara yang paling mudah untuk memastikan kita mendapat iodin dengan secukupnya ialah dengan mencampurkannya dengan makanan seharian seperti garam.
BOLEHKAH GARAM BERIODIN DIMAKAN OLEH IBU MENGANDUNG, KANAK-KANAK DAN ORANG SAKIT?
- Ya. Semua orang boleh dan perlu mengambil garam beriodin terutamanya ibu mengandung dan kanak-kanak yang sedang membesar untuk mencegah kecacatan mental, fizikal dan kelahiran mati atau keguguran.
SEKIRANYA SAYA SUDAH MENGAMBIL MAKANAN YANG CUKUP IODIN, ADAKAH MEMAKAN GARAM BERIODIN MEMBAHAYAKAN SAYA?
- Tidak. Kandungan iodin dalam garam beriodin adalah rendah. Oleh yang demikian ia tidak akan mendatangkan akibat buruk walaupun makanan harian anda mengandungi iodin.
BAGAIMANA SAYA MENYIMPAN GARAM BERIODIN?
- Garam beriodin perlu disimpan dalam bekas tertutup ketat dan jauh dari api/matahari. Bekas itu mungkin plastik, gelas atau kayu tetapi harus bertutup ketat. Kelembapan dan penyimpanan yang terlalu lama boleh memusnahkan iodin dalam garam.
BERAPA LAMAKAH GARAM BERIODIN BOLEH DISIMPAN?
- Garam beriodin seharusnya digunakan dalam tempoh 6 bulan.
BOLEHKAH GARAM BERIODIN DIBERIKAN KEPADA TERNAKAN?
- Garam beriodin dapat memperbaiki tahap kesihatan dan produktiviti haiwan ternakan. Haiwan tenusu yang diberi makan garam beriodin dapat menghasilkan susu yang kaya dengan iodin.
BAGAIMANA SAYA TAHU GARAM YANG SAYA GUNAKAN ITU GARAM BERIODIN?
- Seseorang itu akan tahu garam yang digunakan adalah garam beriodin dengan melihat label pada bungkusan. Sekiranya anda masih belum pasti, minta bantuan dari anggota Jabatan Kesihatan untuk menguji garam tersebut sama ada mengandungi iodin atau tidak?
Sumber info kesihatan: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
0 comments
Terima kasih kerana sudi baca. Sila tinggalkan komen ya ^^