Pengalaman Sewaktu Zaman Persekolahan Sebelum Menceburi Diri Dalam Bidang Seni
By Jovie J - 7/23/2020
Sudah lama Jovie tidak share pengalaman hidup dalam blog ni, kan?
Jovie kini harus lebih banyak susun jadual untuk update konten-konten yang bermanfaat untuk pembaca setia mahupun kepada sesiapa yang ingin mendapatkan sumber pengetahuan lebih.
Sejak dua menjak ini, ada saja yang tanya Jovie,
"Dulu memang kau ambil seni kah?"
"Apa subjek yang wajib saya ambil untuk mencapai kelayakan dalam bidang kesenian?
"Kelulusan apa yang mencukupkan persyaratan masuk dalam dunia seni?
" Dulu sebelum kau belajar bidang seni, apa ja kau belajar?"
Okay, sini mahu explain tentang pengalaman sebenar Jovie sebelum mula serius untuk terjebak dalam dunia seni.
Ini adalah pengalaman saya SEBELUM mengambil keputusan masuk dalam dunia seni.
JOVIE HANYALAH PELAJAR PALING PENDIAM
Jovie hanyalah pelajar biasa yang tiada pernah memiliki pencapaian tertinggi dalam mana-mana akademik, boleh dikatakan hanyalah menjadi sebahagian daripada pelajar biasa dalam kelas.
Guru lebih mengenali peribadi Jovie sebagai seorang yang pendiam, tiada kelebihan luar biasa pun yang boleh ditonjolkan kepada khalayak umum. Perwatakan pelajar pendiam, itulah gelaran yang mudah untuk guru mengenali Jovie.
JOVIE TIADA PENGALAMAN MASUK DALAM DUNIA TADIKA/PRASEKOLAH
Jovie tidak mempunyai pengalaman masuk dalam kelas tadika/prasekolah kerana dahulunya sistem pendidikan tidak begitu mengetatkan persyaratan / tidak wajib untuk masuk ke tadika/praseskolah. So, dari berumur 1 tahun hinggalah 6 tahun Jovie hanyalah belajar dari rumah sahaja.
MEMASUKI DUNIA PERSEKOLAHAN PADA USIA 7 TAHUN
Bermulanya masuk ke umur 7 tahun, barulah ibu bapa memasukkan Jovie dalam dunia persekolahan. Culture Shock! Hahaaa...Masih ingat lagi hari pertama masuk sekolah Jovie menangis kerana harus pergi ke sekolah tanpa bimbingan ibubapa. Bapa yang selalu menghantar Jovie ke sekolah setiap hari, keluar saja bapa dari kawasan sekolah, pasti Jovie akan kejar bapa sambil menangis teresak-esak!
Ya,ampun! pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan.
JOVIE SUKA BELAJAR ILMU BARU !
Di sekolah rendah, Jovie sangat senang belajar kerana suasana kelas yang penuh dengan rasa ingin tahu. Ilmu bagi Jovie ketika itu harus mampu menguasainya kerana Jovie selalu diingatkan guru supaya ilmu yang diperoleh ini akan digunakan dalam kehidupan seharian nanti. Ada saja ilmu baru yang Jovie belajar setiap hari, tidak pernah bosan belajar ilmu baru. Bahkan, Jovie pasti selalu berminat untuk mempelajarinya walaupun sering dimarah salah satu guru yang garang.
PENGALAMAN KENA DENDA, MARAH
Pengalaman yang paling Jovie tidak boleh lupa ialah ketika dimarahi cikgu kerana tidak mampu menjawab pertanyaannya. Denda yang pernah dialami Jovie seperti, berdiri atas meja cuma dengan satu kaki dan kaki sebelah diangkat paras lutut...dahi diconteng kapur, dihumban pemadam papan putih, berdiri di depan pintu sambil pegang buku teks...telinga dipulas sampai pedih...kutip sampah keliling sekolah...lebih banyak, hahahaa...
Mahu nangis pun, Jovie waktu tu tidak pernah berfikir untuk membalas balik dengan kejahatan. Jovie faham itulah perangai Cikgu itu yang ingin pelajarnya lebih hebat dalam menguasai subjek itu.
Yang hairannya juga, Jovie tidak pernah ingin menangis kerana didenda. Malah, Jovie sebenarnya suka dengan subjek tersebut. Mungkin Jovie lebih fikir enjoy daripada serius.
MAIN SAMPAI BASAH KUYUP ( MAIN HUJAN )
Inilah pengalaman paling berharga bagi Jovie. Bermain adalah hobi yang berpanjangan bagi kita di zaman sekolah rendah. Panjat pokok, main sembunyi-sembunyi dalam hutan. Main gelongsoran di parit jalanan sampai baju seragam koyak-rabak. Cerita mitos-mitos menyeramkan ketika dalam perjalanan pulang. Generasi kelahiran 1995 pasti tidak lari dengan kisah Balan-Balan yang selalu jadi bualan hangat di Sabah ketika itu. Mitos ada hantu kahwin jika ada hujan bercampur cuaca panas...hahaa.
PERSAINGAN POSITIF DALAM PERJUANGAN MENDAPATKAN KEPUTUSAN CEMERLANG DALAM UPSR.
Ketika dalam musim menghadapi peperiksaan UPSR, kami dalam sepakat untuk sama-sama memiliki keputusan UPSR yang cemerlang. Sama-sama ingin naik, berjaya, cemerlang. Ketika ini, fokus Jovie cumalah belajar untuk membentuk nota ajaib untuk Jovie lebih mahir dalam semua topik subjek. Sehinggalah akhirnya keputusan UPSR termeterai, terasa sedikit kekecewaan kerana tidak dapat melepasi target pencapaian diri. Akhirnya, lama-lama Jovie menerima bahawa keputusan yang Jovie terima itu sudah cukup memberansangkan,2A 3B...sekurang-kurangnya tiada gred C untuk Jovie meratapi kekecewaan melampau, hahahaa..
MEMASUKI DUNIA PERSEKOLAHAN PERINGKAT MENENGAH
Jovie tetap dalam karakter sebagai pelajar pendiam, malah jarang bertanya dan mempunyai bilangan sahabat yang sedikit. Jumpa kawan baru, hanya mampu senyum dan kadang-kadang lansung tidak menegur sama sekali kerana takut dibuli melebih-lebih. Boleh dikatakan tahap insecure sangat tinggi. Tahap keyakinan diri juga semakin kurang kerana kali ini berhadapan dengan pelbagai ragam pelajar yang kita tidak akan tahu sifat sebenarnya. Dalam peringkat ini, Jovie hanya punya sifat ingin tahu dengan dunia sekolah tahap ini. Jovie tidak pernah terlepas untuk mengikuti aktiviti perkhemahan sekolah. Dari aktiviti perkhemahan inilah Jovie mengenali lebih ramai senior dan junior yang memiliki bakat masing-masing.
Kalau dahulu, peperiksaan PT3 lebih dikenali sebagai PMR ( Peperiksaan Menengah Rendah ). Pada tahun itu, Jovie memasuki kelas yang di luar jangkaan Jovie; di mana Jovie masuk kedudukan kelas paling hujung. Jovie sehingga kini masih tidak faham kenapa Jovie harus dimasukkan dalam kelas itu. Apakan daya, Jovie tidak mempunyai hak untuk melawan sistem pengurusan sekolah. Apa yang Jovie boleh buktikan hanya dengan menunjukkan keputusan peperiksaan yang melayakkan Jovie masuk dalam kelas standard atas. Itulah prinsip yang Jovie pegang ketika itu.
TEKAD MEMILIH SUBJEK LEBIH POWER UNTUK MEMBUKTIKAN KEMAMPUAN DIRI
Syukur, ketika menerima keputusan PMR, Jovie dapat menarik nafas lega mampu mencapai target kelulusan yang termampu. Ketika memasuki orentasi kemasukan Tingkatan 4, Jovie memegang tekad yang kuat untuk menjadi sebahagian daripada pelajar yang dapat masuk dalam kelas aliran tersebut. Atas alasan ingin menjadi lebih baik dan membanggakan diri sendiri dengan usaha kemampuan yang ada. Jovie memilih subjek Sains Sukan, Ekonomi Asas, Asas Perakaunan, Geografi dan subjek wajib yang lain.
Menjadi sebahagian daripada pelajar dalam aliran tersebut merupakan pencapaian terhebat yang Jovie pernah lalui. Namun, setelah mendalami dunia kelas pembelajaran ini, Jovie perlahan-lahan mengalami bebanan yang menyukarkan Jovie menghadam semuanya satu persatu. Jovie dikelilingi oleh pelajar yang sememangnya berasal dari kelas yang hebat sebelum ini. Jovie merasa saingan yang terlalu hebat, malahan Jovie mulai memahami bahawa bukan semua subjek Jovie mampu angkat.
Kadang, Jovie lebih memikir untuk berehat ambil cuti untuk merehatkan otak yang terlalu menerima banyak input. Ternyata untuk sukses juga perlu persediaan mental yang padu!
MENGAMBIL KEPUTUSAN AMBIL TUISYEN TAMBAHAN DI LUAR SEKOLAH
Di ambang-ambang menuju peperiksaan SPM, Jovie telah secara bulat hati mengambil tuisyen tambahan untuk subjek Asas Perakaunan. Antara Matematik dan Asas Perakaunan, Jovie lebih hadam untuk belajar lebih untuk subjek Akaun. Jovie tahu bahawa Matematik adalah subjek wajib yang harus Jovie kuasai sebelum Akaun, namun Jovie mengambil keputusan untuk ulangkaji lebih dalam Akaun kerana ini pengalaman terakhir Jovie untuk mendalami dunia akaun lebih baik.
KERJA KURSUS SUBJEK AKAUN SETARAF BUAT AKAUN UNTUK SYARIKAT
Ini adalah salah satu punca yang membuatkan Jovie sukar untuk mengatur emosi sepanjang tempoh tersebut. Syukur Jovie dikelilingi sahabat yang 2 kali lebih hadam dalam susun alur proses akaun. Maaf, dia bukanlah akauntan atau bisnessman/woman...dia hanyalah pelajar biasa yang sangat hebat dalam subjek ni. Tingkatan 5 Jovie banyak melalui proses susah payah untuk menguasai semua subjek...pengorbanan masa, menaip kerja kursus akaun di Pusat Cyber bersama seorang kawan yang lebih hebat dalam mencari inisiatif menyelesaikan sesuatu masalah. Syukur Tuhan mempertemukan saya dengan sebilangan kawan yang betul-betul memahami. Rakan baik saya adalah yang selalu ada di posisi Kiri dan Kanan meja saya, hahaa.
TERIMA KEPUTUSAN SPM APA ADANYA
Jovie akui akan ada beberapa subjek yang Jovie tidak mampu jana penyelesaian ketika menjawab peperiksaan. Ketika itu, Jovie sudah hilang akal untuk mencari jawapannya...Jovie reda. Saat Jovie menerima keputusan SPM, Jovie mengalami sedikit kekecewaan di mana subjek yang terendah itu tersimpan sebuah harapan lampau dari Cikgu yang mengharapkan Jovie at least lulus dengan baik untuk kali terakhirnya. Menerima gred D dalam 2 subjek SPM adalah pencapaian terburuk atau kegagalan terburuk yang Jovie terima sepanjang dalam dunia peperiksaan besar. Terima kegagalan, kecewa sehingga tidak pernah bertemu lagi dengan cikgu yang pernah menaruh harapan yang terbaik buat Jovie. Maafkan Jovie, Cikgu...
PERNAH BUNTU MEMILIH HALA TUJU KEHIDUPAN SETELAH SPM.
Jovie pernah menganggur untuk beberapa bulan sebelum mengambil keputusan sambung belajar pada peringkat STPM. Syukur beberapa bulan kemudian, menerima kerja dengan gaji bulanan serendah RM400. Jovie menerima kerja ini sebagai sebahagian daripada pengalaman Jovie berhadapan dengan alam pekerjaan. Sambil itu, Jovie juga menerima tawaran Diploma untuk dalam bidang Fisioterapi..Jovie telah membuat keputusan tanpa berfikir 2 kali. Setelah Jovie menerima tawaran menerima kelayakan masuk peringkat STPM, Bayaran RM500 untuk pendaftaran memasuki bidang Fisioterapi hangus begitu saja. Kesian bapa yang bertungkus lumus memberi sokongan ambil bidang tersebut.
SAMBUNG PENGAJIAN PERINGKAT STPM
Kini tiada lagi seragam sekolah wajib, kasut sekolah formal dan galakan membawa handphone telahpun dilonggarkan; STPM. Jovie akhirnya mampu bernafas daripada penjara peraturan ketat sistem sekolah. Akhirnya Jovie naik ke satu langkah lebih mandiri, memiliki ilmu pendidikan yang lebih bertaraf. Jovie lebih yakin bahawa STPM adalah langkah hala tuju yang terbaik sebelum memasuki dunia institusi pengajian tinggi lebih besar. Jimat kos,tempoh pengajian yang singkat, dan sistem peperiksaan setaraf pendidikan Asia.
MENGAMBIL KEPUTUSAN TANPA FIKIR DUA KALI
Jovie dengan yakinnya memilih untuk mempelajari bidang/ aliran yang baru dalam peringkat STPM. Sewaktu Jovie dengan tekad hati berpindah ke aliran baru, cikgu sempat memanggil saya di belakang secara personal untuk berbincang tentang keputusan yang Jovie pilih ini.
" Jovinia, kau yakin mau ambil subjek ni? Bukan kau dulu pelajar aliran Ekonomi?"
"Ya, Cikgu. Saya tekad, yakin dengan keputusan ni. Kalau saya ambil kelas Ekonomi lagi, saya takut saya tidak mampu angkat beban subjek terlemah saya lagi..."
" Baiklah, kau ada alasan. Harap aliran baru ni kau dapat kejar subjek Sastera, yaa Jovie?"
Jovie menggangguk, berkata Ya dan hanya mampu tersenyum dengan yakin. Tanpa rasa penyesalan, saya kembali ke tempat duduk asal dengan rakan kelas baru saya. Saya masih ingat dengan prinsip sewaktu Orentasi masuk Tingkatan 4,
"Ingat, pilihan dan keputusan kamu adalah berkaitan masa depan kamu. Jangan pilih subjek kerana ikut kawan atau atas dasar mahu jadi hebat tanpa melihat kemampuan diri sendiri."
Sehingga ke hari ini, prinsip itu tetap Jovie ingat dan simpan sebagai pedoman maju ke hadapan.
Akhirnya, Jovie lega dapat memasuki dunia bidang baru, Aliran Sastera.
BERTEMU DENGAN KARAKTER JIWA KESENIAN YANG PENUH DENGAN ESTETIKA JIWA MASING-MASING
Hari pertama Jovie memasuki kelas dengan rakan Sastera baru, Jovie agak sedikit ringan. Tiada beban berat yang Jovie alami kerana aura personaliti setiap pelajar di sini agak melucukan. Agak aneh, tetapi penuh dengan keunikan masing- masing.
Ada yang kuat tidur, tapi pengetahuannya di luar kotak pemikiran...hahahaa.
Ada yang degil dan nakal, namun dia lebih mudah serap ilmu...
Ada yang suka membuat hiburan dalam kelas, namun kesannya memberi ransangan yang baik untuk keceriaan kelas.
Kenapa Jovie tidak memilih untuk mempelajari dunia seni dari mula lagi?
Hahaa...
Ya, dari sinilah Jovie betul-betul serius mendalami ilmu seni dan sastera...
Sesuai dengan pembawaan jiwa yang suka menjiwai dunia seni...
Episod selanjutnya akan bersambung...
2 comments
Nice sharing.. cerita kita hampir sama tetapi ada juga perbezaan .. Apapun all the best in everything you do :)
BalasPadamHihii...thank you😍
PadamTerima kasih kerana sudi baca. Sila tinggalkan komen ya ^^