Pepatah Melayu

By Jovie J - 7/20/2020

1. Yang dikejar tak dapat, yang digendong berciciran.

Maksud: Sikap yang terlalu tamak, keuntungan yang diharapkan tidak diperoleh sebaliknya harta yang sedia hilang pula.

2. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.
Maksud: Berpura-pura tidak tahu tetapi sebenarnya dia sudah tahu.

3. Siapa gatal, dialah yang menggaru.
Maksud: Sesiapa yang inginkan sesuatu, dialah yang harus berusaha mendapatkannya.

4. Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
Maksud: Kalau kita membuat kesalahan, segeralah bertaubat dan betulkan segala kesilapan lalu.

5. Lain gatal, lain digaru.
Maksud: Lain yang disoal, lain pula yang dijawab.

6. Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.
Maksud: Perangai yang dimiliki oleh seseorang bapa, sedikit sebanyak akan diwarisi oleh anak-anaknya.

7. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang.
Maksud: Sesuatu kejadian yang berlaku pasti ada sebabnya.

8. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
Maksud: Dalam pertengkaran, kedua-dua belah pihak akan rugi tidak kira menang atau kalah.

9. Ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Maksud: Tindakan yang mengikut hawa nafsu akan mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.

10. Hitam dikatakan putih, putih dikatakan hitam.
Maksud: Penipu atau pembohong.

11. Dibakar tidak hangus, direndam tidak basah.
Maksud: Sangat gagah dan payah ditewaskan.

12. Carik- carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga.
Maksud: Pertelingkahan yang berlaku di kalangan adik-beradik biasanya tidak lama.

13. Cium tapak tangan, berbau atau tidak?
Maksud: Lihatlah kekurangan diri sendiri sebelum menghina orang lain.

14. Baik membawa resmi padi, daripada membawa resmi lalang.
Maksud: Bersikap merendah diri.

15. Ayam terlepas, tangan bau tahi.
Maksud: Kejahatan yang dilakukan, akhirnya akan mengaibkan diri sendiri.

16. Akal tidak sekali datang, fikiran tidak sekali tiba.
Maksud: Kebijaksanaan seseorang tidak akan dapat dengan sendirinya, tetapi akan datang beransur-ansur setelah kita berusaha.

17. Lemak manis jangan ditelan, pahit jangan dimuntahkan.
Maksud: Kritikan dan pujian yang diterima hendaklah diselidiki.

18. Kecil api menjadi kawan, besar ia menjadi lawan.
Maksud: Kejahatan yang kecil mesti dihapuskan dengan segera supaya tidak menjadi lebih besar.

19. Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.
Maksud: Pengetahuan dan kelebihan itu bukan tertentu kepada orang tua-tua saja. Pengetahuan selalu juga terdapat pada orang muda-muda.

20. Ke tengah boleh, ke tepi pun boleh.
Maksud: Orang yang dapat menyesuaikan diri dalam pergaulan.

21. Lain dulang lain kaki, lain orang lain hati.
Maksud: Tiap-tiap orang mempunyai keinginan yang berbeza.

22. Naik seperti semut, turun seperti ribut.
Maksud: Hendak memperoleh kejayaan selalunya lambat, tetapi hendak jatuh mudah sekali.

23. Ringan tulang, berat perut.
Maksud: Yang rajin bekerja banyak mendapat rezeki.

24. Tegak sama tinggi, duduk sama rendah.
Maksud: Sama taraf

25. Ada padi, semua kerja jadi; ada beras, semua kerja deras.
Maksud: Bagi orang mampu, semua maksud mudah tercapai.

26. Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan.
Maksud: Segala usaha tetap ada kesukaran dan bahayanya.

27. Lembu punya susu, sapi dapat nama.
Maksud: Orang lain yang berusaha, orang lain yang mendapat pujian.

28. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
Maksud: Susah senang dirasai bersama.

29. Jerat tidak lupa akan pelanduk, tetapi pelanduk lupa akan jerat.
Maksud: Sudah lupa akan bahaya, tetapi sebenarnya bahaya tetap mengancam.

30. Masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak.
Maksud: Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.

31. Ada ubi ada batas, ada masa dapat balas.
Maksud: Perbuatan yang jahat pada suatu waktu akan mendapat pembalasan juga.

32. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Maksud: Supaya mendapat kesenangan kelak, harus berani bersusah dahulu.

33. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud: Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

34. Biar putih tulang, jangan putih mata.
Maksud: Lebih baik mati daripada menanggung malu.

35. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni.
Maksud: Perhubungan yang sangat karib, tidak dapat dipisahkan.

36. Diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat.
Maksud: Pendiam tetapi berfikir atau banyak pengetahuan; bekerja dengan diam.

37. Di luar bagai madu, di dalam bagai hempedu.
Maksud: Lahirnya baik, batinnya jahat.

38. Harapkan guruh di langit, air tempayan ditumpahkan.
Maksud: Kerana mengharapkan keuntungan yang besar tetapi belum pasti, keuntungan yang kecil yang sudah pasti dilepaskan.

39. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Maksud: Orang miskin yang berusaha kerja lebih untuk mendapatkan rezeki.

40. Masuk ke telinga kanan, keluar melalui telinga kiri.
Maksud: Nasihat atau pelajaran yang tidak dimasukkan ke dalam telinga.

41. Pahit dahulu, manis kemudian.
Maksud: Perjanjian hendaklah dibuat dengan syarat-syarat yang terang dan tegas, supaya tidak menimbulkan perselisihan di kemudian hari.

42. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
Maksud: Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama terhasil juga.

43. Sekali tersengat, selalu beringat.
Maksud: Orang yang pernah menderita kesusahan akan berhati-hati dalam semua tindakan setelah itu.

44. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Maksud: Sekiranya bernasib baik akan mendapat kejayaan, tetapi jika bernasib malang akan mendapat kerugian.

45. Siapa yang makan lada, dialah yang terasa pedas.
Maksud: Sesiapa yang berbuat salah akan terasa apabila disindir.

46. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
Maksud: Tiap-tiap pemberian orang hendaklah dibalas dengan pemberian; kita harus tahu berterima kasih.

47. Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.
Maksud: Semasa hidup hendaklah mematuhi aturan-aturan yang berlaku; sesudah mati terserahlah pada hukum Tuhan.

48. Kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tidak nampak.
Maksud: Kesalahan orang lain biarpun kecil, nampak; tetapi kesalahan diri sendiri tidak disedari.

49. Lemak manis jangan terus ditelan, pahit jangan terus dibuang.
Maksud: Sesuatu nasihat iti hendaklah difikirkan masak-masak buruk-baiknya, sedangkan kecaman janganlah pula ditolak mentah-mentah.

50. Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
Maksud: Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments

Terima kasih kerana sudi baca. Sila tinggalkan komen ya ^^